Bermula dari upacara merisik, bertunang dan seterusnya melangsungkan perkahwinan. Tidak kira di desa mahu pun di kota, upacara serta adat istiadat yang sama pasti ada. Hal ini menunjukkan betapa simboliknya adat perkahwinan Melayu di dalam sesebuah komuniti.
Merisik
Kebiasaannya ibu bapa bakal pengantin lelaki akan menghantar wakil untuk merisik si gadis sama ada sudah berpunya atau belum dengan membawa sebentuk cincin belah rotan. Majlis ringkas ini tidak rasmi dan mungkin berlangsung hanya dalam masa yang singkat sebagai menghantar tanda dan bertanya tentang si gadis pujaan hati. Namun ada juga majlis merisik ini dibuat pada hari yang sama iaitu pada majlis bertunang.
Bertunang
Selepas mencapai kata sepakat dan menetapkan tarikh untuk mengikat tali pertunangan, rombongan pihak lelaki akan datang ke rumah si gadis dengan membawa hantaran dan sebentuk cincin tunang. Jumlah hantaran yang dibawa oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan.
Contohnya jika pihak lelaki membawa lima dulang hantaran, maka pihak perempuan perlu membalas sebanyak tujuh dulang. Antara barang hantaran yang sering dibawa untuk majlis bertunang adalah manisan, sirih junjung, sepersalinan, kuih muih serta barang keperluan lain. Semua barang hantaran akan didekorasi indah mengikut tema yang telah dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Dalam adat resam masyarakat Melayu terdapat dua jenis pertunangan yang masih diguna pakai sehingga hari ini iaitu:
- Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Cukup sekadar melalui lisan menandakan mereka ingin menyatukan anak mereka apabila dewasa kelak. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang terjalin agak erat antara ibu bapa dan dengan mengikat tali pertunangan untuk anak mereka mungkin akan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim yang telah terjalin sekian lama.
- Pertunangan mengikut wasiat salah seorang ahli keluarga atau ibu bapa yang telah meninggal dunia. Biasanya wasiat ini akan disampaikan oleh ahli keluarga yang masih hidup atau pun saudara mara terdekat.
Rewang bermaksud gotong royong sebagai persiapan menjayakan sesuatu majlis terutamanya majlis kenduri perkahwinan. Mengambil contoh adat Negeri Sembilan, sebelum majlis rewang akan diadakan pertemuan atau mesyuarat di rumah pengantin perempuan untuk pembahagian tugas yang akan diaturkan oleh Buapak selaku ketua rewang.
Pembahagian tugas ini adalah untuk memastikan semua perjalanan majlis berlangsung dengan teratur mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Berinai
Inai merupakan salah satu tanda simbolik dan menjadi penyeri untuk bakal pengantin. Biasanya inai akan dipakai oleh pengantin perempuan di kesemua jari tangan dan kaki dengan sedikit dekorasi indah dibahagian atas tapak tangan dan dibelakang tapak tangan juga dibahagian kaki.
Bagi pengantin lelaki 3 jari sudah cukup menandakan yang si jejaka sudah berpunya dan telah melangsungkan perkahwinan.
Adat bercukur
Tidak lengkap kiranya jika di dalam adat perkahwinan Melayu tiada adat bercukur. Bercukur ini adalah pelengkap syarat buat pengantin perempuan. Kebiasaannya mak andam akan mencukur anak-anak rambut, membentuk kening dan membaca doa untuk menaikkan seri wajah pengantin.
Akad nikah
Majlis akad nikah kebiasaannya akan diadakan di majlis berdekatan dengan kediaman. Majlis ini akan menyaksikan kemuncak perkahwinan dimana pengantin laki akan diijabkabulkan dengan permaisuri hatinya mengikut syariat Islam. Dalam akad nikah ada beberapa syarat, rukun dan kewajipan yang perlu dipatuhi iaitu:
- Persetujuan kedua belah pihak
- Izin dari wali
- Saksi-saksi yang adil dan bijaksana
- Mahar (mas kahwin)
- Lafaz Ijab danKabul
Ini adalah masa yang dinanti-nantikan oleh semua tetamu yang ada. Tibanya waktu kemuncak iaitu majlis berarak dan biasanya akan diikuti dengan paluan kompang dalam suasana yang sangat meriah. Barang hantaran akan dibawa keluar dan pengantin perempuan akan keluar untuk menjemput pengantin lelaki dan seterusnya menuju ke pelamin indah untuk duduk bersanding. Acara tepung tawar dan merenjis akan dijalankan dan waktu ini ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai sudah pastinya tidak akan melepaskan peluang.
Bertandang
Majlis bertandang ini adalah majlis keramaian terakhir yang akan diadakan untuk meraikan pengantin atau dengan kata lain majlis menyambut menantu. Majlis ini akan diadaka di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan akan diperkenalkan dengan seluruh sanak-saudara dan kaum keluarga pengantin lelaki supaya mereka saling mengenali antara satu dengan yang lain.
No comments:
Post a Comment